Islam itu indah

Islam itu indah

Selasa, 20 Ogos 2013

WACANA MENJELANG KEMERDEKAAN NEGARA YG KE 56.

                       
Pendahuluan.


Bersempena hari kemerdekaan yang ke 56 tahun, beberapa hal yang perlu kita renungkan bersama dalam rangka memantapkan bumi tercinta ini, demi kehidupan yang adil dan makmur serta  direstui Ilahi  dalam kehidupan rakyat negara ini. Nabi Ibrahim a.s pernah  berdoa untuk mendapatkan petunjuk Ilahi khususnya bagi umat Islam dan umat yang lain-lain yang cinta kepada kehidupan aman, damai dan makmur serta menjauhkan diri dari sifat  yang tidak beretika dan tidak berintergeriti,  Sebagaimana diterangkan dalam al Qur'an yang bermaksud :

" Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata : Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini
(Makkah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku serta anak cucuku
              daripada menyembah berhala-berhala."
                                                                (QS. Ibrahim : 35)

Setelah Nabi Ibrahim selesai membangunkan Ka'bah atas perintah Allah s.w.t sebagaimana yang dilukiskan oleh ayat tersebut, Nabi Ibrahim bermohon supaya Allah memberikan kemakmuran kepada negeri  Makkah sebagai negeri yang aman makmur. Negeri yang aman makmur itu dijelaskan oleh Nabi Ibrahim a.s, yang terdapat dalam suatu ayat yang lain,  Nabi yang mulia itu meneruskan doanya  kepada  Allah s.w.t, dalam Al Qur'an yang bermaksud :

" Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berdoa; Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian."
                                                       (QS. Al Baqarah : 126)

Hasrat dan keinginan Nabi Ibrahim a.s itu merupakan teras kepada pembangunan sesebuah negara Islam, bahawa kemakmuran bumi ini sangat bergantung kapada usaha untuk menghijaukan tanah dengan tanaman buah-buahan, sayur-sayuran yang segar, sebagai makanan penduduknya, lebih-lebih lagi Malaysia sebagai sebuah negara dianugerah oleh Allah  tanahnya yang subur, jika ditanam batu sekalipun necaya ia akan tumbuh, lebih-lebih lagi jika ditanam berbagai jenis tanaman terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran segar untuk keperluan rakyatnya. 

Penghijauan tanah ini sebagai amal soleh kepada negara  yang kita cintai. Namun usaha ini secara keseluruhannya belum juga menjadi kenyataan, ia ditakrifkan belum disahut secara bersungguh-sungguh tawaran dari bumi Allah ini,  untuk memakmurkannya bumi yang kita cintai ini, kenyataannya masih bergantung harap kepada bumi negara lain untuk menampung keperluan makanan bagi penduduk negara ini.

Kemerdekaan adalah untuk membangun suatu kehidupan yang makmur dan adil meliputi seluruh lapisan rakyat dalam artikata yang sebenarnya, kemakmuran negara adalah satu nikmat anugerah Allah, namun sikap kita yang tidak peka dalam melakukan perubahan untuk kemakmuran rakyat walaupun kemerdekaan negara sudah mencecah 56 tahun ini,  ditambah pula apabila terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang keperluan harian yang tidak menentu dan kadang-kadang lambakan barang yang  bermutu rendah dari negara jiran tetangga sangat-sangat memeritkan. 


Selain dari itu  sistem ekonomi kita perlu diperbetulkan kaedah pengagihannya, terutama pasaran yang dikuasai oleh pemborong-pemborong yang mengaut keuntangan berlipat ganda, perlu kepada mekanisme baru mengikut kaedah yang diketengahkan oleh Islam iaitu konsep ubudiyah, setelah melihat konsep ekonomi yang berteraskan konvensional sekular selalu menimbulkan masalah kepada manusia di dunia ini. 

Konsep ubudiyah yang lebih menitik beratkan etika atau akhlaq, menjunjung peradaban manusia atau ummah negara ini dengan cita-cita negara yang baik dan diredhai Allah, supaya hak kemakmuran itu tidak dirampas sesuka hati melalui teori Machievlli matlamat membolehkan cara. 

Sebagaimana kaedah yang diunggkapkan oleh Al Qur'an yang bermaksud :


" Suatu negara yang thaiyibah (baik, indah, bersih dan makmur) dibawah ridha Ilahi Yang Maha Pengampun."
                                            (QS. Saba' : 15)

Maka bagi negara umat Islam, tidak cukup hanya berpandu kepada sistem ekonomi konvensional semata-semata, tetapi ia harus kembali kepada sistem ekonomi Islam yang berteraskan perinsip Ubudiyah dan Rububiyah mengutama keredhaan Ilahi itu, tujuannya supaya kekayaan negara ini dapat dirasai secara saksama dan adil, jauh dari monopoli terhadap kemakmuran itu, membuatkan rakyat  yang kurang bernasib baik menghadapi tekanan hidup yang membelenggu mereka dengan kenaikan harga barang ketahap melampau sehingga hilang kebijaksanaan yang selalau diharapkan. 


Syukur Teras Kemerdekaan 


Selain dari itu, sebagai seorang muslim, selalu melihat segala suatu itu dari kacamata Islamiyah, bahawa kemerdekaan itu merupakan anugerah Ilahi. Maka dengan segala kekurangan dan kelebihan, semestinya kita lebih dahulu wajib bersyukur atas anugerah Ilahi. Islam telah mengajar kita dengan petunjuk yang jelas, iaitu bagaimana sikap kita dalam menghadapi  sesuatu kemenangan dan kehebatan. Firman Allah yang bermaksud :


" Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti kami akan menambah (nikmat) kepada mu dan jika kamu kufur mengingkari (nikmat ku) maka sesungguhnya azab ku amat pedih."

                                              (QS. Ibrahim :7)


Syukur itu itu lawannya kufur.  Sikap kita dalam mengahdapi anugerah Ilahi atau kemenangan ini ada dua kemungkinan akan terjadi, syukur atau kufur, Nabi Sulaiman a.s di anugerah oleh Allah s.w.t suatu kerajaan yang hebat dan megah, mempunyai kekayaan yang luar biasa, tidak ada satu makhluk pun dibumi ini yang tidak tunduk kepadanya. Namun baginda menganggap kemewahan kehebatan adalah sebagai ujian dari Allah s.w..t  untuk mengukur tebal nipisnya iman seseorang,  ia bersyukur terhadap anugerah Allah tersebut dengan cara melaksanakan perintah Allah dan membelanjakan harta negara ke tempat yang selayaknya ke arah yang diridhai Allah, baginda muhasabah diri dan tidak kufur terhadap anugerah Allah itu dengan membelanjakan kekayaan itu kejalan yang tidak diredhai dan melawan Tuhannya. Nabi Sulaiman mengatakan.

Firman Allah yang bermaksud :
 
" Itulah sebahagian dari kurnia Tuhan ku untuk menguji ku apakah aku bersyukur atau kufur (akan nikmat kurnianya)." 


                   
(QS.An Naml :40)
 


Tiap-tiap harta negara yang dibelanja dengan cara yang betul kejalan yang diridhai Allah s.w..t, maka harta itu terpelihara dari kebinasaan, jika harta itu dibelanjakan dalam bentuk penderhakaan terhadap Allah, maka mereka itu termasuk dalam golongan kufur nikmat iaitu mereka yang tidak bersyukur kepada Allah s.w.t.

Setidak-tidaknya  ada 3 sikap kita terhadap anugerah Allah itu, bahawa


1) Kemerdekaan itu harus jangan lupa 
     ia adalah anugerah dari Ilahi.


2) Banyak-banyak bersyukur jangan kufur nikmat terhadap anugerah Ilahi.  

3) Jangan jadikan kemakmuran material itu 
    berhala (sembahan) dalam hidup ini.           


Petunjuk dari ayat diatas, apabila kemerdekaan itu  dicapai, maka perkara paling utama bersyukurlah, jauhi dari sifat angkuh, tamak, gila kuasa menepuk dada terhadap jasa masing-masing dalam perjuangan, bersihkan jiwa hatinurani serta  meningkatkan ibadah kepada Allah  dari nikmat kemerdekaan itu, semoga segala amal sholeh selama ini diterima oleh Allah  dengan ganjaran besar.

 

Justeru itu Nabi Ibrahim a.s pernah mendoakan anak cucunya yang bakal menjadi penguasa di kota Makkah yang aman makmur itu, jangan menyembah berhala. Maksudnya dalam kontek masakini, kenikmatan  kekuasaan serta kekayaan itu, sebagai berhala kepada kehidupan ini. 

                                                                                                                                                               

Tugas utama pemimpin disamping tugas-tugas lain, menyiapkan generasi pelapisnya dikalangan mereka yang lebih baik darinya terutama dalam soal pengetahuan dan akhlaq. Jika amanah yang kita laksanakan itu sesuai dengan kehandak Allah, maka Allah akan memberikan petunjuk dan gajanranNya yang tidak terhingga, jika bercanggah dengan kehendakNya, maka Allah telah memperingatkan.                                                                                                                                                                                                         
Firman Allah yang bermaksud :

" Katakanlah " Wahai Tuhanku yang mempunyi kerajaan. Engkau yang memberikan kekuasaan kepada orang yang Engkau ingini, dan Engkau mencabutkan kekuasaan dari orang yang Engkau kehendaki, Engkau muliakan dari orang yang Engkau kehendaki dan engkau hinakan  orang yang Engkau kehendaki dan ditangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

                                           (QS. Ali Imran : 26)




Maka kita harus sedar, bahawa perjuangan  kemerdekaan ini adalah juga perjuangan rakyat seluruhannya, ia bukan milik perseorangan, walaupun secara simboliknya dilihat hanya beberapa orang pemimpin terlibat, tetapi dibelakang mereka amat ramai rakyat memberikan sokongan moral dan material.  

Akhirnya sebagai anak yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga muslim, iaitu wajar  untuk saling mengingatkan bahawa Islam itu suatu sistem dikeruniakan oleh Allah  untuk hamba-hambaNya dan wajib diamalkan secara berkesan dan menyeluruh, berdasarkan keridhaan Ilahi sebagi penguasa alam ini.






MANTAN PENSYARAH 
CITU UiTM SHAH ALAM.