Islam itu indah

Islam itu indah

Rabu, 23 April 2014

SYARI'AH DAN TANGGUNGJAWAB UMAH MELAKSANAKANNYA.

Pra Wacana



 Syi'ar ibarat mercu tanda yang menunjukkan wujudnya syari'ah, khususnya disesebuah negara umat Islam yang berdaulat mempunyai elemen  kenegaraan yang utuh,  berperlambagaan dan undang-undang yang berteraskan Islam yang berdaulat untuk negara dan anak bangsanya. Syi'ar Islamiyah itu terdapat di mana-mana sahaja didunia ini, di Amerika, Asia,  bahkan diseluruh negara Eropah dan lain-lain.

Maka bagi negara-negara bukan Islam, wujudnya syi'ar dan tidak ujudnya syari'ah, sudah barang tentu kita  memahaminya, bahawa tidak ada keperluan bagi mereka untuk perlaksanaan syari'ah, sebab mereka  non muslim tidak ada keperluan secara sukarela tunduk kepada undang-undang Islam, walaupun secara tidak langsung mereka juga tunduk kepada undang-undang Allah dalam bentuk terpaksa, mengikut fitrah kejadiannya. Maka itulah namanaya non muslim tidak seperti muslim dan mukmin sifatnya tetap menyerah diri kepada Tuhannya.  




Al Qur'an ada menjelaskan yang bermaksud :

" Apakan mereka mencari agama yang lain selain agama Allah (Islam), pada hal segala apa dilangit dan di bumi menyerahkan diri (muslim) kepadaNya, baik secara suka rela maupun secara terpaksa, dan kepada Allah mereka dikembalikan."
                                                       (Qs Ali Imran :83)


Ayat ini menampakkan kepada kita, bahawa manusia itu terdiri dua unsur, jasmaniyah rohaniyah. Jika kita melihat kepada unsur jasmaniyah, diri manusia itu terdiri dari raga dan batang tubuh, yang sepenuhnya, taat kepada hukum-hukum yang serba tetap pasti dan objektif, tunduk kepada sunnatullah. Sebab tidak kira apa-apa saja agama yang menjadi pegangannya hatta yang tidak beragama sekalipun, maka secara terpaksa ia adalah muslim, walaupun hanya raga dan batang tubuhnya sahaja. Kerana manusia itu adalah terdiri dari dua komponen sebagai makhluk yang utuh, dikurniakan oleh Allah satu daya pilih (ikhtiar) kepadanya. Maka wujudnya hukum Allah itu secara khusus untuk manusia itu, suatu hukum yang berbeza dengan alam lainnya yang tidak mempunyai unsur rohaniyah yang tidak mempunyai daya pilih atau free will.

Oleh itu hukum Tuhan untuk manusia itu ialah hukum Syari'ah, maka yang patuh dan tunduk kepada syari'ah, ia adalah seorang yang sebenarnya muslim sebagai pemeluk agama Allah, umat Nabi Muhammad s.a.w. Kepadanya dijanjikan keselamatan,  kesejahteraan dan kebahagiaan dunia dan akhirat kelak.


 Seorang Muslim Dan Non Muslim

Maka sudah barang tentu perbezaan yang ketara ke dua-dua golongan ini ialah dalam kontek keimanan dan keingkaran terhadap syari'ah. Maka jika seorang muslim juga ingkar terhadap syari'ah, maka harus diperbetulkan, kerana telah songsang syahadahnya samada kejahilannya terhadap hukum-hukum tersebut atau menolak secara terang-terangan kerana pengaruh sekularnya (duniawi) yang sangat mendalam, bagi non muslim yang mengengkari syari'ah ia bukan perkara luar biasa, kerana syari'ah Islam tidak wujud dalam kamus non muslim, ia perlu  pendekatan yang sejelas-jelasnya tentang syari'ah dan tidak boleh dipaksakan terhadap mereka.


Saya pernah terbaca  dalam Buletin Dakwah yang diterbitkan di Jakarta, serombongan Ahli Hukum Eropah melawat Arab Saudi untuk mengetahui dari dekat tentang syari'ah Islam. Delegasi itu terdiri dari Sean Mac  Bride Guru Besar Universiti Dublein bekas menteri Luar Irland, bekas Presiden Dewan Eropah dan bekas Sekrataris Jeneral Ahli Undang-Undang Internasional, M. Karel Vasak, Guru Besar Hukum Publik pada universiti Besancon, Pengarah Saksi Hak Asasi Manusia pada Dewan Eropah dan Pengarah Majalah Internasional Hak Asasi Manusia, M.Henry Laoust Guru Besar Islamulogi dan peradaban Islam pada Gollege de France dan M.Jean Loluis Aujol Sekretaris Jeneral Lembaga Persahabatan  Perancis-Arab Saudi.

Delegasi ini menjadi tamu kepada Syeikh Muhammad Al Harakan, Menteri Kehakiman, Syeikh Muhammad bin Jubair, Ketua Mahkamah Agong, Syeikh Muhammad Al Mubarrak, Guru Besar Fakulti Hukum Islam Makkah, Dr Munir Aljalani, penasihat Utama Kementerian Kehakiman Riyadh, Dr. Makruf Dawalibi dan lain-lain.

  Dalam ucapannya yang di berikan oleh kalangan rombongan ini dapat dirumuskan beberapa kesimpulan :
     

(1)   Mereka menyindir dengan secara halus sekali tentang Al Qur'an yang diturunkan lima belas abad yang   lalu dalam undang-undang Perdata (sivil) dan Pidana (Jenayah) serta masalah perkahwinan dan kewarisan. Menurut pendapat mereka segala sesuatu patut dipelajari dan difikirkan kembali, kerana kehidupan ini selalu berkembang sesuai dengan perkembangan zaman.


(2)   Menurut pendapat mereka bukanlah kepentingan Islam kalau semua bentuk hukum diatur berdasarkan Al Qur'an, hal itu dapat merosakkan Al Qur'an itu sendiri, kerana kehidupan telah berkembang begitu pesat sekali dan kondisi telah banyak berubah, juga mereka ingin tahu tentang hudud, potong tangan, sebat dan rejam kepada penzina soal wanita dan lain-lain sebagainya. 


Selanjutnya dalam pertemuan tersebut, pihak Arab Saudi memberikan penjelasan. Wakil Arab Saudi mengatakan, bahawa pada suatu waktu dulu, wakil ini pernah menghadiri, wacana fiqh Islam yang diadakan di Perancis yang dihadiri oleh para Ilmuan dari berbagai Universiti dunia.


Di antara yang hadir, ada mengemukakan pendapat, bahawa agama tidak akan dapat mempertahankan kesucian, kalau agama itu sentiasa seperti sebagaimana adanya.... agama itu seharusnya tidak berubah dan tidak berkembang. Kalau agama itu berubah dan berkembang, maka ia telah kehilangan tempatnya yang mulia dan suci. Selanjutnya pembicara itu menerangkan tentang Islam merangkumi segala sesuatu yang diketahui, berkenaan manusia dengan kekuatan ghaib Yang Maha Tinggi Allah SWT dan juga merangkumi hubungan manusia denga manusia, agama dalam Al Qur'an adalah segala sesuatu yang sesuai dengan ilmu pengetahuan, minda dan pemikiran manusia. Orang yang mengajar pengertian agama kepada orang-orang Islam hanyalah orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan, menggunakan otak dan kaum pemikir. Kerana itu tidak heranlah kalau orang Islam itu merasa pasti akan kewajiban mendirikan setiap hukum dari hukum syari'ah, atas dasar Al Qur'an yang telah memberikan pengertian agama yang telah dikemukakan di atas.


Ibnul Qaiyyim Al Jauziyah mengatakan, dimana-mana saja terdapat kemaslahatan dan kepentingan umum, maka disanalah terdapatnya syari'ah. 


Lebih tegas dikatakan, dalam syari'at Islam harus dibezakan antara kaedah dan prinsip. Kaedah boleh berubah sedangkan prinsip tidak boleh berubah dan bertukar mengikut selera manusia dari aspek perlaksanaannya. Sementara itu jenis hukum yang boleh berubah sesuai dengan kepentingan dan keadaan apabila tidak ada ketetapan dari Al Qur'an, baik yang bersifat umum atau yang khusus, sesuai dengan kaedah ilmu, akal dan pemikiran dilihat kepada perkembangan semasa dan tidak terkeluar dari prinsip-prinsip keadilan yang ditetapkan oleh Al Qur'an.


Mempertahankan  Syari'ah Islam


Setelah membicarakan panjang lebar luas dan mendalam disekitar syari'ah Islam, maka ketua delegasi  Mr. Mac Bride  menyatakan hal yang selanjutnya menakjubkan dan kagum mendengar kenyataan tentang syari'ah Islam dan hak-hak asasi dalam syari'ah itu. Selanjutnya dalam negara Islamlah katanya sepatutnya diistiharkan hak-hak asasi manusia, bukan di negara-negara lain, para ulama kaum muslimin berkewajiban untuk mengumumkan kenyataan yang belum dikenal ini kedunia Internasional ini. Maka kerana kejahilan atau tidak faham yang menjadikan sebab mereka memburukkan nama baik agama Islam, terutma apa yang dilakukan musuh-musuh Islam dan orang Islam yang tidak faham dengan hukum-hukum Islam. Selanjutnya beliau mendesak supaya jawaban yang panjang lebar dan berharga itu ditulis untuk kepentingan rombongan ini, akan mereka pergunakan untuk mempertahankan Islam dan menerangkan kenyataan ini kepada yang ingin mengetahuinya.

Kemudian Mr. Mac Bride menyatakan dengan ikhlas, saya sebagai seorang kristian mengumumkan bahawa, hanya disinilah (negara Islam) ini, Tuhan yang disembah dalam bentuk yang sesungguhnya. Ia sependapat dengan para Ulama, bahawa hukum al Qur'an dalam hal hak-hak asasi manusia, setelah mendengar dan melihat pelaksanaanya sudah tidak diragukan dan lebih baik daripada Piagam Hak Asasi Manusia.


Syi'ar Dan Syari'ah Islamiya


Maka kalaulah pengakuan dari orang non muslim yang secara terus terang, maka jika terdapat juga  orang-orang yang meragukan syari'ah Islam, maka kita anggap mereka ini luar biasa sangat tebal sekular dalam diri mereka serta lahir dari wawasan pemikiran yang kelasik ketinggalan zaman. Apa yang berlaku hari ini dinegara-negara umat Islam menggunakan cara dan kaedah mengambil sebahagian dari syari'ah dan meninggalkan sebahagian yang lain, menyebabkan undang-undang Islam itu kelestariannya hilang dan keindahannya hanya dilihat pada sebahagian saja serta bercampur aduk dengan undang-undang ciptaan manusia yang sering berubah-ubah mengikut selera manusia. 


Sebagai difirman oleh Allah dalam Al Qur'an yang bermaksud :

 
" Adakah kamu percaya kepada setengah kitab dan kamu kufur (ingkar) dengan lainnya? Maka tiadalah balasan orang memperbuat yang demikian melainkan kehinaan di atas dunia dan pada hari kiamat; mereka dimasukkan ke dalam siksaan yang pedih dan Allah tidaklah lalai daripada pekerjaan kamu."
                                              
                                                            (Q.S. Al Baqarah :85)


Maka disebabkan faktor ini jugalah umat Islam selalu menjdi mangsa kepada sistem sekular (keduniaan) barat, dan menjadi robot kepada kauasa-kuasa barat yang Kolonial,  tidak tahu membezakan antara istilah syi'ar dan syari'ah. Memang jika dilihat syi'ar itu terdapat dimana sahaja, di negara-negara komunis, kapitalis terdapat masjid-masjid, surau-surau, Pusat Islam dan bacaan Al Qur'an juga dikumandangkan pada setiap waktu solat lima waktu dengan meriahnya, maka apakah syari'ah Islam juga berdaulat disana. Maka umat Islam perlu memberikan jawaban terhadap keingkaran yang amat ketara terhadap syari'ah Islamiyah dan tanggungjawab terhadap tuntutan Allah SWT yang terabai itu. 


Ali Audah Cendekiawan Mesir Mujahid Agong Alam Islami, berpendapat dengan terus terang, bahawa syari'ah Islam itu, penciptanya ialah yang mencipta alam dan isi kandungannya (makhluk ini), dalamnya amat jelas kekuasaanNya (Allah), kesempurnaan dan keagunganNya, meliputi apa yang ada. Sifat Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Pemberi dalam syari'ah meliputi segala-galanya, sekarang atau yang akan datang menurut ketentuan ilmuNya yang Maha Mengetahui segala sesuatu, juga ketentuanNya yang tidak pernah berubah dan bertukar menurut FirmanNya yang bermaksud :


                             " Tidak ada perubahan bagi kalimah Allah."
                                                 (Q.S. Yunus : 64) 


Syari'ah Allah tidak perlu berubah dan tukar ganti mengikut selera manusia, betapapun perubahan kepada negara, dan perkembangan hidup manusia ini, kerana sifat-sifat alam yang di jadikan ini begitulah seadanya, dan jika manusia mengatakan ia perlu berubah-rubah, maka itulah sifat ilmu yang ada kepada manusia yang amat dangkal itu, ia tidak tahu apa yang berlaku kepada dirinya dan alam ini pada masa-masa mendatang sehingga menyebabkan ia mengatakan adanya perubahan, tapi pada ilmu Allah sudah meliputi segala-galanya. Maka oleh sebab itu manusia suka lari dari ketetapan Allah, kerana ia hanya berbicara dengan mindanya  yang cetek dan ingkar dari petunjuk Ilahi, disebabkan sangat mentaqdiskan mindanya, namun  yang semestinya perlu ditaqdiskan, iaitu Yang Maha Pecipta bukan mindanya.


Maka oleh sebab itu, sesetengah orang agak merasa berat mempercayai rumusan di atas, kerana faktor keimanannya, maka itulah yang harus difahami sedalam-dalamnya supaya keimanan kepada Al Qur'an tidak tergugat  dan tidak timbul keimanan separuh-separuh terhadap syari'ah itu, tetapi wajib berkeyakinan semua yang namanya syari'ah itu datangnya dari Allah. Tetapi bagi mereka yang sempurna keimanannya, tidak sulit menerima rumusan di atas, bahawa semua syari'ah itu dari Allah, walau tidak ditunjuk dengan detail dan lengkap untuk itu.


Sekali lagi beliau tegaskan, bahawa syari'ah  Islam itu undang-undang Allah yang  kita mematuhinya, malah ditekankannya berabad-abad sudah syari'ah Islam itu wujud didunia ini, dimana berbagai undang-undang ciptaan manusia sudah berubah-rubah, fikiran dan pendapat manusia mengalami perkembangan dahsyat, penemuan sains teknologi yang menakjubkan dan terjadi perubahan peraturan undang-undang lain. Namun syari'ah Islam tidak menerima perubahan dan pergantian. Maka menjadilah ia nash atau teks undang-undang yang paling tinggi dari ukuran orang dan kumpulan orang  yang mengamalkannya serta dapat  memenuhi keperluan, ia paling dekat dengan fitrah kejadian manusia dan paling rapi menjaga keamanan dan ketenangan jiwa mereka (Tasyri'ul Jina'i Islami, Juz 1 hal. 18-21).


Prof. Muhammad Abu Zuhrah ahli undang-undang Islam mengemukakan lebih terperinci tentang syari'ah Islam itu, beliau meletakkan 3 asas penting :

1. Keadilan, keistemewaan yang amat ketara sekali sebagai konklusinya, yang
diwar-warkan oleh syi'ar Islam. Allah berfirman yang bermaksud :
   
    " Sesungguhnya Allah memerintahkan berlaku adil, berbuat kebajikan,
dan memberikan kepada kerabat dekat dan Dia (Allah) melarang perbuatan keji,
mungkar dan kezaliman."

                                                                   (Q.S An Nahl : 90)



2. Keutamaan Insaniyah- Mementingkan nilai insani iaitu undang-undang yang sesuai setiap masa dan keadaan, nilai yang tetap, memisahkan hak dan kewajiban amaliyah, namun ia juga agama yang dilaksanakan, akhlak yang mulia, syari'ah yang kukuh adalah perkara-perkara yang terjaling antara satu sama lain.


3. Maslahah Insaniyah-Kepentingan hidup manusia. Semua hukum yang ditampilkan oleh Al Qur'an, maka As Sunnah sedia menjelaskan, ia mengandungi kemaslahatan manusia. Sekiranya sebahagian manusia belum menemukannya sesuatu yang tersembunyi dalam hal yang berkait dengan kehidupan ini, maka bukan berarti ia tidak wujud, namun ia terus dinamik, tidak ada sesuatu yang menghalanginya untuk mencari kemaslahatan insaniyah ini.


Syari'ah Islam Bagaimana Untuk Di Abadikan


Penulis berpandat, bahawa syari'ah Islam itu, bukan kepentingan Ilahiyah, andaikata umat Islam tidak ada cita-cita untuk perlaksanaannya, syari'ah ini datangnya dari yang Maha Kuasa Allah, bukan untuk kepentinganNya, Allah tidak  muflis dan rugi, jika tidak dilaksanakan syari'ah tersebut, maka beristighfarlah banyak-banyak, Allah itu Maha Agong, Maha Hebat dan Maha Kuasa. Namun bagi manusia khususnya muslimin harus tahu merendah diri dan rendah hati, mempunyai cita-cita mulia untuk kembali ke kalimah Allah dan kebesarannya, ia bukan anjuran semata-mata, tetapi harus bermuhasabah dan mengintrospek dirinya, Al Qur'an dan Hadis, tidak sekedar dibaca atau menghafaznya  semata-mata tetapi harus difahami, dihayati dan sterusnya dilaksanakannya, dalam kontek individu, keluarga, masyarakat  dan negara sebagai suatu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan di negara-negara umat Islam di dunia ini yang sekian lama dimamah secara rakus oleh sistem sekular ini.


Jika Cendekiawan-cendekiawan barat yang Keristian berterus terang menyatakan sebagimana tersebut di atas memperkui kehebatan undang-undang Allah itu dan ia perlu diistiharkan supaya menjadi Piagam Antara Bangsa. Maka sangat kelabulah minda yang terbungkus oleh sekularisme (duniawi), sehingga wujud suara-suara sumbang mengatakan syari'ah Islam yang bersumber dari kitab yan sudah lapok tidak sesuai lagi dengan zaman moden ini. Apa maksudnya Moden, kerana setiap yang moden itu juga akan menjadi lapok dan kuno yang kuno dan lapok akan menjadi reput dan musnah, itu sifat alam ini, ia tetap musnah sebelum musnah total. Al Qur'an tidak akan musnah setelah sekian lama berada di bumi ini, tetap setia dengan seruannya yang lantang dan berhikmah, maka tidak ada suatu yang kekal di alam ini kecuali Yang Maha Perkasa Allah s.w.t. Juteru itu tak perlulah merasa diri kita ini hebat, sebesar mana kekayaan dan pangkat, bila sampai masanya ia tetap akan dipanggil oleh Allah untuk menghadapNya.

 

Firman Allah yang bermaksud :

" segala sesuatu di jagat-raya ini akan binasa hanya Tuhanmu yang memiliki
  kebesaran dan kemuliaan akan kekal."
                                   ( Q. S Ar Rahman : 26-27)


Jika direnung secara berhikmah dan berhemah tentang faktor manusiawinya, manusia itu tetap manusia dan bersifat lemah. Sebab itulah Allah menurunkan syari'ah (undang-undang) firmanNya yang bermaksud :


" Kemudian kami jadikan engkau (Muhammad) menjalani syari'ah (hukum) dalam setiap urusan, maka turutilah ketentuan itu dan janganlah engkau turuti keinginan orang-orang yang tidak tahu."


                                                           (Q.S Al Jatsiyah ; 18)


Dalam ayat yang lain Allah berfirman  yang bermaksud :


" Tidak ada hukum melainkan bagi Allah ,"
               (Q.S Al An'am : 57)

Biarpun sehebat mana kedudukan manusia ini, ia tetap makhluk lemah dari asal usul kejadiannya. Allah tidak menukar manusia menjadi malaikat atau prophet dari dulu sampai sekarang tetap manusia, ia akan reput bila-bila masa di dalam longgokan tulang-tulang, sebagaimana berlaku dihadapan mata kita hampir setiap hari. Prejudis  semacam itu terhadap hukum Allah adalah dari minda yang ketinggalan zaman dirasuk oleh Al Wahn (jiwa yg lemah) iaitu rakus kepada dunia dan benci kepada mati. Oleh itu untuk mengembalikan syari'ah undang-undang Allah ke bumi umat Islam yang tercinta adalah tanggungjawab umat Islam secara keseluruhannya. Jangan ada suara-suara angkuh yang bersarang di hati kita hingga menyebabkan kita tergolong dari golongan kufur terhadap undang-undangNya.


Kesimpulan.

(1)Syari'ah itu adalah undang-undang Allah, Allah tidak mengiktiraf undang-undang lain selain dari undang-undangNya.

(2)Syari'ah diwujudkan sama dengan wujudnya keperluan-keperluan lain yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia ini.

(3)Beriman sebahagian dan ingkar dengan sebahagian yang lain terhadap kitab Allah itu, perlu kita muhasabah diri terhadap keimanan kita, mungkin ada sesuatu yang tak kena apa yang ada dalam diri kita.

(4)Tamadun dan sistem sosial barat yang sekian lama wujud, makin lama makin pincang, kemakmuran yang didirikan di atas penderitaan orang lain hampir kegaris penamatnya.

(5)Sistem sekularisme sebagai satu-satunya akidah mereka (orang barat) tidak pernah memberikan penyelesaiannya selain dari dibungkus oleh materialism yang berterusan adanya.

  

                     Penutup.                                          

"Tidak ada hukum melainkan bagi Allah"

    (QS Al An'am:57)







Abd. Halim Yaakob
Mantan Pensyarah
ACIS UiTM Shah Alam.