Islam itu indah

Islam itu indah

Ahad, 25 April 2021

IBADAH SEBAGAI TUJUAN UTAMA INSAN DI BUMI.




Jika dikaji secara terperinci, bahawa pengertian ibadah itu amat luas,  namun penulis  akan cuba merumuskan beberapa ketentuan dan pegertian yang berkait dengan ibadah tersebut. Perkataan ibadah diambil dari bahasa Arab, bahasa Al Qur'an asal katanya 'a b a d a artinya merendahkan diri, khidmat, patuh dan ta'at. Iaitu kerendahan diri terhadap satu-satunya yang berhak menerima pengabdian yang tinggi iaitu Allah s.w.t, dalam Al Qur'an ada dinyatakan. 



Firman Allah s.w.t.

" Janganlah kamu menyembah selain dari Allah"
                                    
                                         (QS Hud : 2)

Ibnu Taimiyah menjelaskan pengertian ibadah secara  terperinci iaitu tiap perkataan atau perbuatan batiniyah dan zahiriyah yang disukai dan diredhai Allah s.w.t umpamanya solat, zakat, puasa dan haji, ucapan yang baik dan menunaikan amanah, berbuat baik kepada ibu bapa melakukan amar makruf dan nahi mungkar serta bersifat pemurah, menyantuni anak yatim, kebajikan kepada hamba-hamba Allah yang lain, berdoa, berzikir dan membaca Al Qur'an dan lain-lain, semua itu adalah termasuk dalam katagori ibadah. Demikian juga dalam soal mencintai Allah dan RasulNya, khusu' dan ikhlas beragama semata kerana Allah, sifat sabar, syukur segala nikmat dan anugerahnya, bersifat ridha terhadap ujian Allah, tawakkal, mengharapkan rahmatNya, takut terhadap ancamanNya dan lain-lain sebagainya. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud :

" Tidak aku ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka menyembah (beribadah) kepadaku."

                                                                           (QS Az Zariyat : 56).

Dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya:

" Wahai orang-orang yang beriman! ruku' dan sujudlah kamu dan sembahlah (beribadahlah) kepada Tuhan kamu dan perbuatlah kebaikan supaya kamu memperoleh kemenangan."

                                                                               (QS Al Haj : 77)


Maka terlalu banyak ayat-ayat yang bersangkut paut dengan ibadah ini yang secara keseluruhannya dituju kepada umat manusia. Dalam hadis Bukhari dan Muslim dari Mu'az bin Jabal yang bermaksud : 

" Sesungguhnya hak Allah atas hambaNya ialah supaya mereka menyembah Allah dan jangan menyengukutukanNya dengan siapa pun dan hak hamba atas Allah ialah bahawa Allah tidak akan menyiksa orang-orang yang tidak menyengutukannNya."

                                           (HR Al Bukhari dan Muslim).


Katagori Ibadah.

Secara langsung atau tidak, bahawa ibadah itu dikatagorikan kepada 2 iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus itu ibadah yang diwajibkan kepada setiap manusia yang terkandung dalam rukun Islam yang lima, seperti solat, puasa, zakat dan Haji.

Manakala ibadah umum itu segala perkataan amal kebajikan yang dilakukannya dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata, sebagaimana disabdakan Nabi s.a.w  yang bermaksud:


" Sesungguhnya setiap perbuatan (amal) dilakukan dengan niat, sesungguh setiap amal yang dilakukan (keuntungannya) apabila sesuai dengan niatnya."

                                                     (HR Al Bukhari dan Muslim)

Abul A'la Al Maududi mengatakan; ajaran Islam tentang Ibadah itu amat luas, Al Maududi meperincikan pendapatnya, jika dalam perbualan kita dengan seseorang selalu menjauhkan perkataan yang kotor, bohong dan kata-kata yang mencemarkan, maka hal yang demikian juga ibadah kepada Allah, demikian juga dalam kita bersosial, berdagang, beraktiviti ekonomi sesama umah, pergaulan suami isteri dan anak-anak, maka tindakan itu termasuk dalam rangka ibadah, membantu orang miskin, memberi makanan kepada yang memerlukannya, melayani orang yang sakit, hal ini bukan mengharapkan sesuatu, tetapi semata mengharapkan ridha Allah, maka perbuatan itu sudah termasuk dalam katagori ibadah, begitu juga kalau berkerja sentiasa berintegeriti tidak merugikan orang lain dan menjunjung ta'at kepada Allah, maka perbuatan itu adalah ibadah.( Al Maududi, Toward understanding Islam hal 30).


Maka dapat disimpulkan, bahawa ibadah itu wujud dalam seluruh sektor kehidupan ini, bermula dari mangatur makan minum, urusan kekeluargaan, urusan pemerintahan iaitu dilakukan kerana Allah semata-mata.


Ibadah Juga Makanan Ruhaniyah.

 Dalam hidup ini tidaklah jasad atau fizikal saja yang memerlukan makanan, tapi ruhani juga memerlukan makanan, malahan kesengsaraan dan kesehatan ruhani ini banyak mempengaruhi kehidupan jasmani. Ruhani perlu diisi dengan makanan ketenangan atau sakinah serta jiwa yang tenang, hatinurani manusia memerlukan komunikasi dengan penciptaNya yang tertib dan beradab dan berterusan. Hal ini hanya boleh dicapai melalui ibadah dan tawakkal kepada Allah s.w.t, ruhani manusia akan terus mendapat tenaga baru yang  membuat ia segar sihat, tenang dan tenteram, tidak merasa ragu menghadapi setiap dugaan yang datang, biar bagaimana sulitnya dan terpaksa ditanggung, tapi ia selalu mendapat tuju hala yang dipandu oleh Allah s.w.t.

Segala  macam-macam kelazatan lahiriah tidak dapat memberi pertolongan untuk mencipta ketenangan dalaman (ruhaniah), kalau jiwa kita kosong dari kebaktian kepada Allah s.w.t. Maka disinilah letaknya rahasia ketenagan jiwa. Orang yang melakukan ibadah itu jiwanya tenang, biarpun badai membantainya, tetapi jiwanya dengan getaran lidahnya, kepadamu wahai Allah kami menyembah dan kepada mu kami memohon pertolongan, berserah bulat dengan tekad tanpa tergugat sedikit pun pasrah dirinya kepada Allah s.w.t.  

Seorang ulama besar Fakhruddin Ar Razi melakarkan kata-katanya bahawa kesan ibadah itu, ia lebih cinta kepada Allah dan dapat membuahkan tiga perkara dalam kehidupan manusia, iaitu : 

(1) Membentuk manusia yang sempurna atau insan-insan kamil dengan ibadah  yang dilakukannya hati manusia dibalut dengan cahaya Ilahiyah, lidahnya terpelihara dengan ucapan mulia dan selalu menyebut kalimah-kalimah mulia seperti zikir dan ayat-ayat Al Qur'an, hingga ia mencapai  tingkat kemanusiaan yang tinggi dan akhirnya mencapai bahagia dalam arti kata yang seluas-luasnya.

(2) Ibadah boleh membentuk sifat amanah. Amanah adalah satu akhlaq yang utama, orang yang amanah selalu mendapat pertolongan Ilahi pada sa'at yang diperlukan.

(3) Ibadah juga mengwujudkan perasaan rasa gembira dan ceria, dapat mengeluarkan manusia dari alam yang gelap gelita kepada sinaran yang terang, memberikan jalan keluar dari kesulitan dan dapat memecahkan persoalan yang sukar dan rumit, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: 



" Barang siapa yang bertaqwa (beribadah), Allah akan menunjukkan baginya jalan keluar dan kemudian di kurniakan rezeki yg tidak disangka-sangka." 

                                                                                 (QS At Thalaq : 2-3).






 
IBNU YA'QUBY