Islam itu indah

Islam itu indah

Isnin, 19 April 2021

MUNCULNYA AL QUR'AN DI ABAD YANG GELAP.



Menjelang turunnya Al Qur'an, situasi dunia termasuk dijazirah Arab berada dalam keadaan tidak menentu disemua  kehidupan. Walaupun benua Eropah sudah pun berdiri dengan megah, Empayar Romawi yang telah memperlihatkan  mercutanda kehebatan pada permulaan abad ke VI M itu. Kemajuan itu telah menjunam dirosakkan oleh unsur-unsur triniti ke atas ajaran ke Esaan Tuhan yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. yang secara langsung mempengaruhi jiwa (akidah) penganut-penganut agama waktu itu, sedangkan golongan hamba abdi dilakukan seperti hewan, ditindas, diseksa sedemikian rupa, tanpa belas kasihan, kadang-kadang dicampak ke sungai untuk habuan buaya terhadap golongan yang lemah itu, ada juga yang diadu dengan binatang buas yang menjadi tontonan kaum bangsawan waktu itu sehingga badan-badan bergelimpangan koyak rabak.




Sementara itu di dunia Timur, Empayar Persi yang megah waktu itu, negeri Cina, India dan lain-lain yang sebelumnya terkenal dengan pusat ilmu dan falsafah juga mula mengalami keruntuhan. Agama Budha tidak lagi mampu mempertahankan nilai-nilainya yang telah maju dan berkembang sebelumnya, begitu juga agama Brahma di India yang membahagikan golongan manusia berkasta-kasta dengan Brahma, golongan atasan terdiri dari pemimpin-pemimpin, agamawan dan pendita, Kesatria-golongan perwira dan angkatan bersenjata, waisya - golongan pedagang, tani dan kemahiran tangan, Sudra- golongan hamba pelayan dan yang sederjat dengannya.


Khusus di Jazirah Arab timbulnya kemerusutan dalam bidang akidah...manusianya hanyut dalam kesesatan, agama Yahudi dan Kristean dihanyut oleh kesesatan. Sebahagian besar dari bangsa Arab masih dipengaruhi oleh tradisional yang diwariskan oleh nenek moyang mereka penyembahan kepada patung-patung, tahyul dan berhala-berhala. Ahli sejarah menamakan abad ini dengan dark ages abad yang gelap gulita.

 Pencerahan  Al Qur'an.

Firman Allah yang bermaksud:

" Telah timbul kerosakan (fasad) didarat dan di laut disebabkan usaha tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan (menimpakan) kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, supaya mereka kembali (berhenti melakukan kesalahan) "

                                                       (Q.S. Ar Rum : 41)

Dalam ayat di atas Allah s.w.t  (dalam teks asal) menggunakan perkataan fasad (kerosakan) ia mempunyai pengertian amat luas, merangkumi kerosakan, kebinasaan, kehancuran, kekejaman, kebatilan dan lain-lain.


 Al Qur'an diturunkan kepada Nabi s.a.w  berperanan untuk membawa kembali manusia yang yang sesat dan memberikan petunjuk jalan sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud :


" Pada bulan Ramadhan diturunkan kitab suci Al Qur'an untuk menjadi petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan bagi petunjuk itu, dan untuk menjadikan garis pemisah (antara yang hak dan yang batal)."

                                                   (Q.S. Al Baqarah : 185)

Al Qur'an itu diturunkan adalah untuk :


1. Memberi petunjuk atau huda dengan cara mnegembangkan ilmu pegetahuan dan bimbingan kepada manusia, mengembangkan kecerdasan dan ilmu pengetahuan dalam mencari kebenaran..


2.  Keterangan-keterangan atau dalil-dalil secara terperinci, di antaranya bata-batas yang ditentukan Tuhan terhadap kewajiban yang mesti dilaksanakan, mana-mana yang halal dan yang mana pula yang haram.


3.  Garis pemisah untuk membedakan antara yang hak dan yang batal, antara  yang benar dan kesesatan dan yang seumpamanya. (at Thabari Jld. II hal. 85).


Al Qur'an sejak ayat pertama diturunkan  5 ayat permulaan dalam surah Al 'Alaq dan sampai ke ayat penghabisan surah Al Maidah ayat 3 semuanya merangkumi masa lampau, kini dan masa akan datang, mengandungi persoalan akidah, ibadah, mu'amalah, akhlak, sejarah, hukum-hakam dan lain-lain.


Al Qur'an diturunkan pada bulan Ramadhan secara beransur-ansur dalam jangka masa 22 tahun 2 bulan dan 22 hari terbahagi kepada 2 periode, pertama semasa baginda berada di Makkah... lamanya 12 tahun 5 bulan dan 13 hari, kedua setelah hijrah dari makkah ke Madinah lamanya 9 tahun, 9 bulan dan 9 hari. Ayat-ayat yang diturunkan di Makkah dinamakan ayat-ayat Makkiyah dan yang diturukan di Madinah dinamakan ayat-ayat madaniyah. Kandungan Al Qur'an terdiri dari 114 surah . 86 surah terdiri dari ayat-ayat Makkiyah dan hanya 23 surah ayat-ayat madaniyah. Sementara jumlah semua ayat-ayat Al Qur'an ialah 6,236 ayat, 4,613 ayat-ayat Makkiyah dan 1,623 ayat-ayat madaniyah. Keterangan yang terkuat dari tarikh Al Qur'an oleh Ibrahim Al Abyari halaman 55.


Pembaharuan Yang Di bawa Al Qur'an.

Al Qur'an itu amat sesuai dengan keperluan hidup manusia di antara perubahan yang dibawa oleh Al Qur'an ialah mengangkat martabat hidup manusia dari lembah kehinaan ke puncak mulia dari kegelapan ke cahaya yang terang benderang. Sementara itu Prof. Muhammad Abdul Azim Zarqani dari Al Azhar Universiti telah menyatakan dan memperincikan pembaharuan yang dibawa oleh Al Qur'an.


  1. Dalam bidang akidah, menunjukkan jalan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat dan antara ke dua-duanya secara memenuhi tuntutan rukun iman...kepercayaan kepada Allah, malaikat-malaikat, kitab-kitab suci, Rasul-Rasul dan hari kemudian (akhirat).
  2. Dalam bidang ibadah, membersihkan pengabdian, kehambaaan hanya kepada Allah semata-mata (monotheisme) dan menghapuskan penyembahan yang berupa syirik yang mengandungi unsur-unsur banyak tuhan.
  3. Dalam bidang akhlak, pembentukan akhlaq atau budipekerti yang mulia dan baik menghapuskan akhlaq yang jelek dan tercela.
  4. Dalam bidang masyarakat, menumbuhkan ikatan persaudaraan, persamaan dan kesatuan tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan keturunan, kasta-kasta dan kelas-kelas yang kerap kali menimbulkan huruhara dan ketegangan.
  5. Dalam bidang politik dan kenegaraan. Menegakkan keadilan yang mutlaq dikalangan umat manusia, kedudukan yang sama dalam hukum dan pergaulan, memelihara janji-janji, menjahui kezaliman, kekerasan dan pembohongan, khianat dan merampas harta manusia dengan cara yang batal, seperti rasuah ( korup), riba dan perniagaan yang menjerut leher.
  6. Dalam bidang ekonomi, membangunkan ekonomi yang sesuai dan diridhoi oleh Allah, mengakui dan menghormati hak-hak manusia, mencari harta dengan batas-batas tertentu, kewajiban membelanjakan harta dalam usaha yang menyangkut kepentingan umum dan bersama.
  7. Dalam bidang kedudukan kaum wanita, menghormati dan memberikan hak-hak mereka, berdasarkan kemanusiaan, keagamaan dan kemajuan.
  8. Dalam bidang peperangan, hendaklah berdasarkan maksud dan tujuan perang, perang ialah untuk kepentingan perdamaian bukan kepentingan kekuasaan semata-mata, tetapi demi keselamatan manusia, menghalang nafsu permusuhan dan perselisihan dan hendaklah memetuhi perjanjian damai.
  9. Dalam fikiran dan pendapat, membebaskan fikiran dan pendapat, memotong rantai-rantai yang membelenggu fikiran manusia, samada didominasi oleh kepercayaan atau sebab-sebab politik kekuasaan dan tradisi.
  10. Mengahapuskan perhambaan tarhadap manusia secara langsung atau tidak langsung, secara mengakui kemerdekaan manusia dan perhambaan itu hanya kepada Allah semata-mata. ( sumber kitab  manahilul irfan fi ulumil Qur'an, jld II hal. 247-249) 


Oleh itu dengan ajaran Al Qur'an sajalah akan dapat mengembalikan ketempangan dan kepincangan  terutama kepada kaum muslimin antaranya yang mula menapak kebelakang meninggalkan segala pesanan Al Qur'an samada disebabkan sekularnya atau rakus kepada kebendaan atau kekuasaan, sehingga apa yang diasaskan Al Qur'an oleh Nabi s.a.w. tidak lagi mejadi panduan hidup...oleh kerana itu, akan dengan mudah musnah manusia-manusia dan negara-negara yang dibelenggu oleh rantai-rantai femikiran yang tidak boleh menghalang nafsu permusuhan dan perselisihan sesama manusia. 





 IBNU YA'QUBY